kelopak bunga berguguran

Kisah-Kisah Teladan


FEBRUARY 02 , 2014 | Suhana

BERKAT MEMBACA BISMILLAH…

Ada seorang wanita tua yang taat beragama tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu membuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa dimulai dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya sentiasa mengejek “Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-kejap Bismillah. Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari, suaminya berkata,nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu.

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata : “simpan duit ini”. Isterinya mengambil duit tersebut dan menyimpan ditempat yang selamat. Disamping itu, suaminya telah melihat tempat yang disimpan. Kemudian dengan senyap-senyap dia mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian, dia memanggil isterinya dan berkata : “Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan”. Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat itu dengan membaca Bismillahirrahmanirrahim.

Ketika itu, Allah menghantar malaikat Jibril untuk mengembalikan beg duit itu dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjatnya dia. Dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya. Ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.


CERITA PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.

"Tolonglah encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.

Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.

Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suamiya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.

Suami yang baru itu menjawab dengan tenang. "Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".

Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya diatas. Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik semula atau sebaliknya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan".

Anas b. Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud :

"Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".






No comments:

Post a Comment